Isnin, 25 Julai 2011

Cara Mengatasi Perasaan Takut Gagal

Takut gagal mewujudkan kebimbangan disebabkan takut tidak mengetahui dan tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya. Selalunya, ia adalah masalah kecil yang dibesar-besarkan. Semakin seseorang memikirkan kemungkinan gagal, semakin dia membuat kesimpulan kepada senario yang mungkin. Tanpa disedari, takut kegagalan telah membuat satu masalah kecil menjadi lebih besar dan lebih rumit.

Seseorang yang takut gagal boleh menjadi terlalu kompetitif. Ia memaksa beliau untuk menganggap setiap orang dan setiap peluang sebagai satu ancaman. Ini menghilangkan keseronokan dalam melakukan sesuatu yang sepatutnya mudah dan tanpa tekanan. Orang itu menjadi gementar dan bimbang. Perasaan ditekan untuk berbuat lebih dan melebihi kemampuan normal menjadikan seseorang itu tidak menentu dan letih.

Takut gagal adalah perkara biasa. Bagaimana anda menguruskannya boleh membuat perbezaan. Perkara terbaik untuk dilakukan apabila berhadapan dengan rasa takut gagal adalah mengambil inspirasi dari pokok buluh yang melentuk apabila ditiup angin yang kuat, untuk menjaga dirinya dari patah, dan bangkit semula apabila angin itu telah berhenti.

Pertama, seseorang perlu menerima hakikat bahawa dia bukanlah seorang yang sempurna, sebenarnya tiada siapa yang

sempurna. Seseorang mempunyai hak untuk membuat silap dan gagal, dengan itu anda telah memberikan diri anda satu lagi peluang dan masa untuk berjuang.

Kedua, wujudkan kumpulan sokongan untuk anda bergantung apabila peperangan menjadi sengit agar anda tidak akan merasa bersendirian dan ditolak. Kebanyakan mereka yang berjaya bergantung kepada keluarga dan rakan-rakan apabila mereka berada di titik terendah dalam kehidupan mereka. Yang lain bergantung kepada impian mereka untuk membawa mereka ke puncak.

Apa sahaja yang anda lakukan, jangan simpan rasa kepahitan di dalam hati kerana ia akan menggunung dan membinasakan anda. Kongsi tentang ketakutan dan kekecewaan yang anda alami kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mengeluarkannya dari diri anda.

Sesiapa yang berkata bahawa kegagalan adalah kejayaan yang terbalik, sudah tentu pernah mengalami kegagalan dalam hidupnya. Atau jika tidak, bagaimana dia mengetahui bahawa kegagalan adalah kejayaan dalam samaran?

Rabu, 20 Julai 2011

Takut Gagal

Kita sambung lagi bicara mengenai rasa takut, kali ini tentang takut gagal. Takut gagal menyebabkan seseorang itu akan kurang keyakinan.

Masih ingat lagi cerita di zaman kanak-kanak?

Razif, seorang doktor perubatan, hanya baru berusia tiga tahun ketika dia menyedari yang seseorang perlu gagal terlebih dahulu untuk belajar dan berusaha ke arah kejayaan. Walau bagaimanapun, konsep tersebut tidak diketahui olehnya pada masa itu kerana dia masih terlalu muda. Dia hanya mula sedar apabila berhadapan dengan kegagalan dalam kehidupan dan kerjayanya.

Kesedaran tersebut hanyalah samar-samar kerana ingatannya tentang zaman kanan-kanak sudah pudar. Apa yang dia boleh ingat adalah dia perlu berusaha keras untuk belajar menaiki basikal. Ibu dan ayahnya membelikan dia basikal yang terlalu besar untuk usianya justeru dia menghadapi kesukaran menggunakan pengayuh.

Setiap hari Razif berlatih mengayuh basikal, kadang-kadang beliau jatuh kerana kakinya tidak mencecah tanah. Walaupun basikalnya mempunyai brek tangan, dia masih ingat yang dia terpaksa menggunakan kakinya untuk menghentikan basikal. Akhirnya, selepas berminggu-minggu berlatih, dia sudah boleh bersiar-siar di sekitar kejiranan dengan basikalnya.

Pengajaran mudah yang orang dewasa boleh belajar dari seorang kanak-kanak. Masyarakat kita terlalu memberi penekanan kepada kejayaan dan membuat kegagalan menjadi satu perkataan yang jelek dan perlu dielakkan. Ramai juga yang bergantung kepada pemikiran positif untuk mengawal kegagalan. Walaupun ia membantu, ia juga membuat seseorang yakin bahawa tidak akan ada benda yang tidak menjadi, sekali gus mewujudkan perasaan selamat yang palsu.

Kegagalan adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan. Namun setiap orang, di satu ketika dalam hidupnya, akan menempuhi kegagalan. Walau bagaimanapun, seperti pengalaman Razif telah mengajar kita, kegagalan itu tidak penting tetapi yang penting ialah bagaimana kita bangkit dari kegagalan itu.

Seseorang boleh membenarkan dirinya dihalang oleh kegagalan, atau dia boleh menggunakan apa-apa kegagalan untuk membina keazaman dan mencapai kejayaan. Apa yang penting ialah kegagalan bukan suatu pengalaman yang sia-sia, kerana orang yang gagal belajar sesuatu daripada pengalaman tersebut.

Orang-orang yang takut kepada kegagalan perlu tahu bahawa orang yang paling berjaya pernah gagal sekali atau lebih di sepanjang hidup mereka. Kolonel Sanders, Walt Disney, Graham Bell dan ramai lagi mereka yang berjaya dan menjadi terkenal telah mengalami kegagalan beribu kali. Tetapi apa yang membuat perbezaan adalah bagaimana mereka belajar dari kegagalan itu dan bagaimana mereka menggunakan kegagalan untuk berjaya dalam hidup. Kegagalan sebenar adalah orang yang gagal sekali dan kemudian enggan untuk mencuba apa-apa lagi kerana takut akan gagal lagi.

Bersambung di minggu hadapan.

Selasa, 12 Julai 2011

Perasaan Takut Kehilangan

Ada beberapa kategori orang yang seseorang mempunyai rasa kasih sayang yang mendalam. Perasaan takut kehilangan salah seorang dari mereka boleh menjadi traumatik kepada seseorang, terutama jika beliau baru saja mengalami kehilangan besar seperti perceraian atau kematian orang yang disayangi.

Seseorang mungkin takut kehilangan pasangan hidup, ibubapa, anak-anak, saudara mara, rakan-rakan atau sesiapa saja yang dekat di hatinya. Perasaan takut ini boleh disebabkan atau dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti:
  1. Perceraian atau berpisah - Seseorang yang baru bercerai atau tidak lagi tinggal sebumbung dengan pasangan sangat mudah dihantui oleh keresahan akibat tekanan perasaan berhadapan dengan pandangan masyarakat di sekeliling. Sudah bertahun tinggal bersama pasangan hidup, justeru perceraian atau perpisahan bukanlah sesuatu yang mudah. Proses untuk menuntut nafkah dan sebagainya mengambil masa yang lama dan pengalaman yang dilalui bukanlah sesuatu yang manis dan menyebabkan tekanan perasaan.
     
  2. Sarang kosong - Suri rumah sepenuh masa mudah mendapat tekanan bila dia menyedari anak-anaknya sudah besar dan seorang demi seorang memulakan hidup sendiri. Keresahan ini berpunca dari fikiran yang merasakan dirinya sudah tidak diperlui lagi oleh anak-anak kerana mereka kini sudah pandai mengurus diri sendiri. Seorang ibu yang mengalami perasaan takut kehilangan anak-anaknya seharusnya melibatkan diri dengan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan, perniagaan atau hobi untuk memenuhi masa lapang. Perasaan diri diperlukan adalah sifat semulajadi manusia, namun anda hendaklah mencari jalan untuk mengatasi perasaan takut tersebut dengan membuat diri anda diperlukan dalam cara yang lain. Ataupun kenapa tidak anda lihat situasi tersebut dari sudut yang berbeza? Bagaimana kalau anda menerima hakikat yang anda telah membesarkan anak-anak dengan baik sehinggakan mereka mampu hidup berdikari. Dan kini telah sampai masanya bagi mereka untuk hidup tanpa bantuan dari ibu.
     
  3. Kematian ahli keluarga – Kematian ahli keluarga atau kenalan rapat selalu membuat seseorang menyedari betapa singkatnya hidup ini. Kesedaran ini akan melahirkan perasaan takut kehilangan orang yang disayangi disebabkan penyakit atau kematian mengejut. Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielak justeru meluangkan masa untuk mereka yang anda sayangi adalah amalan yang menguntungkan. Jika anda sudah meluangkan masa yang cukup untuk mereka, anda sentiasa boleh meningkatkan kualiti masa yang anda habiskan bersama mereka.
Perasaan takut kehilangan seseorang yang disayangi akan selalu wujud. Tiada siapa yang dapat lari dari perasaan ini kerana terdapat situasi di mana seseorang akan terfikir kemungkinan terpisah dari orang yang disayangi. Akan tetapi kemungkinan kehilangan seseorang yang disayangi, kematian atau perpisahan, adalah suratan hidup yang tiada siapa dapat menghalangnya dari berlaku.

Namun begitu kita boleh melembutkan tamparan ditinggalkan dengan menyediakan diri untuk menghadapi kemungkinan tersebut.

Isnin, 11 Julai 2011

Takut Kehilangan Seseorang

Maziah terjaga dari tidur, peluh membasahi tubuhnya, mimpi malam tadi masih segar di ingatannya. Hampir setiap malam dia mengalami mimpi buruk. Namun mimpi buruk itu bukan sekadar mimpi buruk, ia menghantui beliau di sepanjang hari.

Mimpi kali ini sama seperti mimpi-mimpi yang lain di mana dia mengejar seseorang yang kemudian jatuh ke dalam jurang yang dalam. Dan dalam semua mimpi, dia adalah wira yang telah melakukan segala-galanya untuk menyelamatkan orang yang sama daripada jatuh. Yang lucu adalah, dia tidak dapat melihat wajah orang itu.

Pakar psikologi mentafsir mimpi Maziah sebagai sesuatu yang memberitahu tentang ketakutan yang beliau alami. Ketakutan yang terkeluar ialah dia takut kehilangan orang yang hampir dengannya, orang yang dia sangat sayangi.

Rasa takut kehilangan seseorang yang disayangi adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang. Ia berpunca dari rasa takut untuk hidup bersendirian di dunia ini dan rasa takut tidak dapat menanggung perasaan menjadi orang yang ditinggalkan.

Memikirkan kemungkinan kehilangan seseorang yang anda sayangi adalah sesuatu yang menggerunkan dan menyakitkan. Anda mungkin telah melabur terlalu banyak masa dan perasaan anda untuk orang itu, justeru anda akan merasa panik jika terfikir akan kehilangannya.

Bersambung di minggu hadapan...

Isnin, 4 Julai 2011

Kategori Takut Kepada Penolakan

Seseorang yang takut kepada penolakan atau tidak diterima oleh orang lain boleh dikategorikan seperti berikut:
  1. Bertindak tanpa keyakinan - Seseorang yang tidak mempunyai keyakinan diri cenderung untuk meniru orang lain dan menghalang diri dari mencuba perkara baru. Kurang keyakinan diri akhirnya akan membuat hidup seseorang itu tidak gembira dan pahit.
  2. Tidak memberi pendapat - Seseorang yang tidak vokal tentang pandangannya terhadap sesuatu perkara mungkin menghadapi masalah dengan penolakan. Dia tidak mahu menyuarakan pendapatnya kerana takut dikritik.
  3. Selalu tertekan - Seseorang yang tidak mempunyai kebebasan untuk menyatakan pendapat atau menyuarakan apa yang diingininya akan menjadi tertekan dan tidak akan menemui cinta seumur hidupnya. Dia akan cenderung untuk bertindak seperti robot kawalan jauh yang tidak boleh membuat keputusan sendiri.
  4. Keliru tentang identiti diri sebenarnya - Seseorang yang mempunyai kebimbangan ditolak akhirnya akan keliru tentang siapa dia sebenarnya. Ini akan membawa kepada krisis identiti dan akan membuat dia marah pada dirinya dan pada orang lain tanpa sebarang sebab.
  5. Kurang keyakinan diri dan nilai diri - Seseorang yang memberikan kepentingan yang lebih kepada apa yang orang lain mungkin anggap tentang dirinya tidak akan mempunyai keyakinan diri untuk memulakan sesuatu. Keyakinan diri yang rendah ini mungkin disebabkan perasaan penolakan yang tertanam dalam dirinya oleh keluarga atau rakan-rakan.
Seseorang yang takut kepada penolakan akhirnya akan ditolak oleh mereka yang beliau ingin gembirakan dan yang sangat menyukai dia. Seseorang yang mempunyai kecenderungan untuk menggembirakan orang lain lambat laun akan disedut ke dalam kitaran penolakan yang sukar. Kelakuannya itu akan membuat mereka yang beliau ambil berat menjauhkan diri darinya. Beliau melihat ini sebagai penolakan dan kitaran penolakan berputar dan terus berputar.