Rabu, 20 Julai 2011

Takut Gagal

Kita sambung lagi bicara mengenai rasa takut, kali ini tentang takut gagal. Takut gagal menyebabkan seseorang itu akan kurang keyakinan.

Masih ingat lagi cerita di zaman kanak-kanak?

Razif, seorang doktor perubatan, hanya baru berusia tiga tahun ketika dia menyedari yang seseorang perlu gagal terlebih dahulu untuk belajar dan berusaha ke arah kejayaan. Walau bagaimanapun, konsep tersebut tidak diketahui olehnya pada masa itu kerana dia masih terlalu muda. Dia hanya mula sedar apabila berhadapan dengan kegagalan dalam kehidupan dan kerjayanya.

Kesedaran tersebut hanyalah samar-samar kerana ingatannya tentang zaman kanan-kanak sudah pudar. Apa yang dia boleh ingat adalah dia perlu berusaha keras untuk belajar menaiki basikal. Ibu dan ayahnya membelikan dia basikal yang terlalu besar untuk usianya justeru dia menghadapi kesukaran menggunakan pengayuh.

Setiap hari Razif berlatih mengayuh basikal, kadang-kadang beliau jatuh kerana kakinya tidak mencecah tanah. Walaupun basikalnya mempunyai brek tangan, dia masih ingat yang dia terpaksa menggunakan kakinya untuk menghentikan basikal. Akhirnya, selepas berminggu-minggu berlatih, dia sudah boleh bersiar-siar di sekitar kejiranan dengan basikalnya.

Pengajaran mudah yang orang dewasa boleh belajar dari seorang kanak-kanak. Masyarakat kita terlalu memberi penekanan kepada kejayaan dan membuat kegagalan menjadi satu perkataan yang jelek dan perlu dielakkan. Ramai juga yang bergantung kepada pemikiran positif untuk mengawal kegagalan. Walaupun ia membantu, ia juga membuat seseorang yakin bahawa tidak akan ada benda yang tidak menjadi, sekali gus mewujudkan perasaan selamat yang palsu.

Kegagalan adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan. Namun setiap orang, di satu ketika dalam hidupnya, akan menempuhi kegagalan. Walau bagaimanapun, seperti pengalaman Razif telah mengajar kita, kegagalan itu tidak penting tetapi yang penting ialah bagaimana kita bangkit dari kegagalan itu.

Seseorang boleh membenarkan dirinya dihalang oleh kegagalan, atau dia boleh menggunakan apa-apa kegagalan untuk membina keazaman dan mencapai kejayaan. Apa yang penting ialah kegagalan bukan suatu pengalaman yang sia-sia, kerana orang yang gagal belajar sesuatu daripada pengalaman tersebut.

Orang-orang yang takut kepada kegagalan perlu tahu bahawa orang yang paling berjaya pernah gagal sekali atau lebih di sepanjang hidup mereka. Kolonel Sanders, Walt Disney, Graham Bell dan ramai lagi mereka yang berjaya dan menjadi terkenal telah mengalami kegagalan beribu kali. Tetapi apa yang membuat perbezaan adalah bagaimana mereka belajar dari kegagalan itu dan bagaimana mereka menggunakan kegagalan untuk berjaya dalam hidup. Kegagalan sebenar adalah orang yang gagal sekali dan kemudian enggan untuk mencuba apa-apa lagi kerana takut akan gagal lagi.

Bersambung di minggu hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan