Isnin, 27 Jun 2011

Takut Kepada Penolakan

Bermula minggu ini, kita akan melihat beberapa jenis rasa takut. Kita mulakan dengan takut kepada penolakan, yang akan membawa kitaran penolakan yang membahayakan.

Rohana, pakar pemasaran salah satu daripada pusat membeli-belah terbesar di bandaraya, berjaya membuat perjanjian bernilai berjuta-juta ringgit dengan penaja yang bersetuju untuk membiayai kempen terbaru mereka. Beliau merasa begitu gembira dan bangga.

Bagi mata yang memandang, Rohana adalah seorang wanita yang berjaya, yang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Sudah tentu mereka betul. Walau bagaimanapun cerita tadi tidak sesuai dengan Rohana jika ia dibuat sepuluh tahun yang lalu, ketika dia baru keluar dari universiti dan selalu mengembirakan semua orang kerana takut ditolak.

Ya, itulah rahsia Rohana. Rahsia yang dia ingin semua orang tahu agar mereka dapat belajar dari pengalaman beliau.

Ketika baru keluar dari universiti Rohana mempunyai rasa takut yang tidak munasabah. Beliau takut yang beliau tidak melakukan perkara yang betul dan orang lain tidak akan menerima dia seadanya. Jauh di sudut hati Rohana merasakan dia berbakat dan cantik tetapi apabila berhadapan dengan gadis-gadis yang lebih berpengalaman dalam hidup dan kerjaya, dia mula berasa tidak selamat dan terpaksa meniru apa sahaja yang mereka lakukan atau apa yang mereka pakai.

Takut akan penolakan mungkin telah menghantui setiap seorang daripada kita pada satu ketika. Ia mungkin disebabkan oleh takut kerana hidup bersendirian, pergantungan terlalu banyak kepada persepsi orang lain terhadap diri sendiri, kekurangan keyakinan diri dan ketidakupayaan untuk mengawal kehidupan sendiri.

Takut penolakan adalah keadaan fikiran yang membuat seseorang merasa kekurangan, tidak berdaya dan tidak berguna. Ia menghalang seseorang daripada melakukan atau mengatakan sesuatu kerana takut orang lain tidak menerima beliau atau menolak tindakan dan kata-kata beliau.

Seseorang yang begitu mengambil berat tentang apa yang orang lain fikir tentang dia akan membuat hidup sendiri sengsara kerana dia tidak lagi boleh memberi buah fikiran atau melakukan perkara yang dia biasanya akan melakukan sendiri tanpa bantuan. Takut akan penolakan boleh melumpuhkan seseorang dan melemahkan semangat untuk menjadi produktif.

Keunikan seseorang akan hilang sebaik sahaja dia memberi penekanan utama kepada apa yang orang lain mahu dia menjadi. Seseorang yang terlalu sibuk untuk menyenangkan orang lain akan mula meniru cara mereka dari cara berpakaian hingga kepada pembawaan diri mereka di dalam masyarakat.

Ini biasanya berlaku kepada golongan muda yang inginkan perhatian dan penerimaan tetapi belum mempunyai asas yang cukup untuk penerimaan diri. Ini boleh memudaratkan pertumbuhan seseorang kerana tidak ada banyak ruang untuk ekspresi diri, hanya penafian diri dan pemikiran untuk menyenangkan orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan