Isnin, 13 Jun 2011

Faktor Yang Menyumbang Kepada Rasa Takut

Disenaraikan lima faktor yang menyumbang kepada rasa takut di dalam diri seseorang:
  1. Apabila kita merasa diri kita terasing, rasa takut akan meningkat. Fakta menunjukkan bahawa seseorang tidak akan rasa takut bila bersama-sama dengan mereka yang rapat dengannya atau berada di persekitaran yang dia telah biasa. Rasa takut akan muncul bila terdapat suatu perasaan kerenggangan tertentu, yang menerbitkan bayangan atau rasa curiga.

  2. Kebergantungan kepada individu atau benda-benda yang dikaitkan dengan dengan keselamatan diri akan menyebabkan diri merasa takut kehilangannya, justeru seseorang akan berbuat apa saja untuk melindungi hubungan, harta atau imej dirinya.

    Contoh: Terlalu bergantung kepada suami atau wang simpanan untuk kehidupan seharian.
    [Ustaz selalu mengingatkan kita supaya bergantung sepenuhnya kepada Allah]

  3. Persekitaran dan orang yang asing kepada seseorang juga akan menyebabkan rasa takut. Keadaan asing menimbulkan ancaman kepada keselamatan diri dan seseorang biasanya akan bertindak balas dengan sangat berhati-hati dan ada kalanya, bertindak defensif.

    Contoh: Bila menghadiri persidangan di mana peserta dan pembentang kertas kerja adalah asing kepada dirinya, seseorang itu akan menahan dirinya dari bertanya soalan kerana takut mengancam "keselamatan" diri (takut dianggap tidak pandai dan merasa malu).

  4. Pengalaman negatif masa lalu seperti mengalami atau menyaksi kehilangan, kecederaan atau kematian memburukkan lagi rasa takut. Minda separa sedar menyimpan kenangan masa lalu dan pada keadaan tertentu, ia dihidupkan semula.

    Pernah dengar ungkapan "Luka lama berdarah kembali?" Seseorang yang tidak menutup fail pengalaman lalu seperti kecewa dalam percintaan atau pernikahan akan merasa takut untuk menjalin hubungan baru atau bernikah lagi. Dia mungkin telah melupakan pengalaman tersebut tetapi apabila dia bertemu dengan orang baru, pengalaman lalu tersebut terbit kembali di mindanya.

  5. Ada kalanya khayalan boleh mengadakan atau mencipta gambaran kesusahan, penderitaan atau kesakitan di luar kebenaran fizikal atau kenyataan. Namun perlu diingat bahawa khayalan bukanlah sesuatu yang negatif, tetapi apabila disalahgunakan atau dizalimi, ia boleh membawa rasa takut yang banyak dalam diri sendiri.

    Contoh: Seseorang selalu membayangkan bahawa dunia perniagaan penuh dengan tipu daya, tikam belakang, kerugian, hubungan tidak rapat, peras ugut, dan bermacam-macam lagi perkara negatif akan membuat beliau rasa takut untuk menceburi dunia perniagaan.
Di kiriman seterusnya saya akan berkongsi tip bagaimana untuk memerangi rasa takut.

Jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan