Rabu, 20 Julai 2011

Takut Gagal

Kita sambung lagi bicara mengenai rasa takut, kali ini tentang takut gagal. Takut gagal menyebabkan seseorang itu akan kurang keyakinan.

Masih ingat lagi cerita di zaman kanak-kanak?

Razif, seorang doktor perubatan, hanya baru berusia tiga tahun ketika dia menyedari yang seseorang perlu gagal terlebih dahulu untuk belajar dan berusaha ke arah kejayaan. Walau bagaimanapun, konsep tersebut tidak diketahui olehnya pada masa itu kerana dia masih terlalu muda. Dia hanya mula sedar apabila berhadapan dengan kegagalan dalam kehidupan dan kerjayanya.

Kesedaran tersebut hanyalah samar-samar kerana ingatannya tentang zaman kanan-kanak sudah pudar. Apa yang dia boleh ingat adalah dia perlu berusaha keras untuk belajar menaiki basikal. Ibu dan ayahnya membelikan dia basikal yang terlalu besar untuk usianya justeru dia menghadapi kesukaran menggunakan pengayuh.

Setiap hari Razif berlatih mengayuh basikal, kadang-kadang beliau jatuh kerana kakinya tidak mencecah tanah. Walaupun basikalnya mempunyai brek tangan, dia masih ingat yang dia terpaksa menggunakan kakinya untuk menghentikan basikal. Akhirnya, selepas berminggu-minggu berlatih, dia sudah boleh bersiar-siar di sekitar kejiranan dengan basikalnya.

Pengajaran mudah yang orang dewasa boleh belajar dari seorang kanak-kanak. Masyarakat kita terlalu memberi penekanan kepada kejayaan dan membuat kegagalan menjadi satu perkataan yang jelek dan perlu dielakkan. Ramai juga yang bergantung kepada pemikiran positif untuk mengawal kegagalan. Walaupun ia membantu, ia juga membuat seseorang yakin bahawa tidak akan ada benda yang tidak menjadi, sekali gus mewujudkan perasaan selamat yang palsu.

Kegagalan adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan. Namun setiap orang, di satu ketika dalam hidupnya, akan menempuhi kegagalan. Walau bagaimanapun, seperti pengalaman Razif telah mengajar kita, kegagalan itu tidak penting tetapi yang penting ialah bagaimana kita bangkit dari kegagalan itu.

Seseorang boleh membenarkan dirinya dihalang oleh kegagalan, atau dia boleh menggunakan apa-apa kegagalan untuk membina keazaman dan mencapai kejayaan. Apa yang penting ialah kegagalan bukan suatu pengalaman yang sia-sia, kerana orang yang gagal belajar sesuatu daripada pengalaman tersebut.

Orang-orang yang takut kepada kegagalan perlu tahu bahawa orang yang paling berjaya pernah gagal sekali atau lebih di sepanjang hidup mereka. Kolonel Sanders, Walt Disney, Graham Bell dan ramai lagi mereka yang berjaya dan menjadi terkenal telah mengalami kegagalan beribu kali. Tetapi apa yang membuat perbezaan adalah bagaimana mereka belajar dari kegagalan itu dan bagaimana mereka menggunakan kegagalan untuk berjaya dalam hidup. Kegagalan sebenar adalah orang yang gagal sekali dan kemudian enggan untuk mencuba apa-apa lagi kerana takut akan gagal lagi.

Bersambung di minggu hadapan.

Selasa, 12 Julai 2011

Perasaan Takut Kehilangan

Ada beberapa kategori orang yang seseorang mempunyai rasa kasih sayang yang mendalam. Perasaan takut kehilangan salah seorang dari mereka boleh menjadi traumatik kepada seseorang, terutama jika beliau baru saja mengalami kehilangan besar seperti perceraian atau kematian orang yang disayangi.

Seseorang mungkin takut kehilangan pasangan hidup, ibubapa, anak-anak, saudara mara, rakan-rakan atau sesiapa saja yang dekat di hatinya. Perasaan takut ini boleh disebabkan atau dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti:
  1. Perceraian atau berpisah - Seseorang yang baru bercerai atau tidak lagi tinggal sebumbung dengan pasangan sangat mudah dihantui oleh keresahan akibat tekanan perasaan berhadapan dengan pandangan masyarakat di sekeliling. Sudah bertahun tinggal bersama pasangan hidup, justeru perceraian atau perpisahan bukanlah sesuatu yang mudah. Proses untuk menuntut nafkah dan sebagainya mengambil masa yang lama dan pengalaman yang dilalui bukanlah sesuatu yang manis dan menyebabkan tekanan perasaan.
     
  2. Sarang kosong - Suri rumah sepenuh masa mudah mendapat tekanan bila dia menyedari anak-anaknya sudah besar dan seorang demi seorang memulakan hidup sendiri. Keresahan ini berpunca dari fikiran yang merasakan dirinya sudah tidak diperlui lagi oleh anak-anak kerana mereka kini sudah pandai mengurus diri sendiri. Seorang ibu yang mengalami perasaan takut kehilangan anak-anaknya seharusnya melibatkan diri dengan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan, perniagaan atau hobi untuk memenuhi masa lapang. Perasaan diri diperlukan adalah sifat semulajadi manusia, namun anda hendaklah mencari jalan untuk mengatasi perasaan takut tersebut dengan membuat diri anda diperlukan dalam cara yang lain. Ataupun kenapa tidak anda lihat situasi tersebut dari sudut yang berbeza? Bagaimana kalau anda menerima hakikat yang anda telah membesarkan anak-anak dengan baik sehinggakan mereka mampu hidup berdikari. Dan kini telah sampai masanya bagi mereka untuk hidup tanpa bantuan dari ibu.
     
  3. Kematian ahli keluarga – Kematian ahli keluarga atau kenalan rapat selalu membuat seseorang menyedari betapa singkatnya hidup ini. Kesedaran ini akan melahirkan perasaan takut kehilangan orang yang disayangi disebabkan penyakit atau kematian mengejut. Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielak justeru meluangkan masa untuk mereka yang anda sayangi adalah amalan yang menguntungkan. Jika anda sudah meluangkan masa yang cukup untuk mereka, anda sentiasa boleh meningkatkan kualiti masa yang anda habiskan bersama mereka.
Perasaan takut kehilangan seseorang yang disayangi akan selalu wujud. Tiada siapa yang dapat lari dari perasaan ini kerana terdapat situasi di mana seseorang akan terfikir kemungkinan terpisah dari orang yang disayangi. Akan tetapi kemungkinan kehilangan seseorang yang disayangi, kematian atau perpisahan, adalah suratan hidup yang tiada siapa dapat menghalangnya dari berlaku.

Namun begitu kita boleh melembutkan tamparan ditinggalkan dengan menyediakan diri untuk menghadapi kemungkinan tersebut.