Isnin, 27 Jun 2011

Takut Kepada Penolakan

Bermula minggu ini, kita akan melihat beberapa jenis rasa takut. Kita mulakan dengan takut kepada penolakan, yang akan membawa kitaran penolakan yang membahayakan.

Rohana, pakar pemasaran salah satu daripada pusat membeli-belah terbesar di bandaraya, berjaya membuat perjanjian bernilai berjuta-juta ringgit dengan penaja yang bersetuju untuk membiayai kempen terbaru mereka. Beliau merasa begitu gembira dan bangga.

Bagi mata yang memandang, Rohana adalah seorang wanita yang berjaya, yang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Sudah tentu mereka betul. Walau bagaimanapun cerita tadi tidak sesuai dengan Rohana jika ia dibuat sepuluh tahun yang lalu, ketika dia baru keluar dari universiti dan selalu mengembirakan semua orang kerana takut ditolak.

Ya, itulah rahsia Rohana. Rahsia yang dia ingin semua orang tahu agar mereka dapat belajar dari pengalaman beliau.

Ketika baru keluar dari universiti Rohana mempunyai rasa takut yang tidak munasabah. Beliau takut yang beliau tidak melakukan perkara yang betul dan orang lain tidak akan menerima dia seadanya. Jauh di sudut hati Rohana merasakan dia berbakat dan cantik tetapi apabila berhadapan dengan gadis-gadis yang lebih berpengalaman dalam hidup dan kerjaya, dia mula berasa tidak selamat dan terpaksa meniru apa sahaja yang mereka lakukan atau apa yang mereka pakai.

Takut akan penolakan mungkin telah menghantui setiap seorang daripada kita pada satu ketika. Ia mungkin disebabkan oleh takut kerana hidup bersendirian, pergantungan terlalu banyak kepada persepsi orang lain terhadap diri sendiri, kekurangan keyakinan diri dan ketidakupayaan untuk mengawal kehidupan sendiri.

Takut penolakan adalah keadaan fikiran yang membuat seseorang merasa kekurangan, tidak berdaya dan tidak berguna. Ia menghalang seseorang daripada melakukan atau mengatakan sesuatu kerana takut orang lain tidak menerima beliau atau menolak tindakan dan kata-kata beliau.

Seseorang yang begitu mengambil berat tentang apa yang orang lain fikir tentang dia akan membuat hidup sendiri sengsara kerana dia tidak lagi boleh memberi buah fikiran atau melakukan perkara yang dia biasanya akan melakukan sendiri tanpa bantuan. Takut akan penolakan boleh melumpuhkan seseorang dan melemahkan semangat untuk menjadi produktif.

Keunikan seseorang akan hilang sebaik sahaja dia memberi penekanan utama kepada apa yang orang lain mahu dia menjadi. Seseorang yang terlalu sibuk untuk menyenangkan orang lain akan mula meniru cara mereka dari cara berpakaian hingga kepada pembawaan diri mereka di dalam masyarakat.

Ini biasanya berlaku kepada golongan muda yang inginkan perhatian dan penerimaan tetapi belum mempunyai asas yang cukup untuk penerimaan diri. Ini boleh memudaratkan pertumbuhan seseorang kerana tidak ada banyak ruang untuk ekspresi diri, hanya penafian diri dan pemikiran untuk menyenangkan orang lain.

Isnin, 20 Jun 2011

4 Tips Berkesan Mengatasi Rasa Takut

Rasa takut boleh diatasi dengan mengembangkan kepercayaan diri. Disenaraikan empat tip untuk panduan semua:
  1. Memberi penekanan kepada kekuatan diri. Daripada memberi fokus kepada hasil, beri fokus kepada apa yang anda mampu capai dan beri pujian kepada diri sendiri di atas kekuatan dan usaha anda tersebut. Bermula dengan sesuatu yang anda mampu daripada apa yang harus anda lakukan akan membantu anda hidup dan bekerja dalam keterbatasan anda.

  2. Berbicara dengan diri sendiri. Semak atau muhasabah diri anda dan latih diri untuk menangani situasi dan juga perkara negatif. Tahu bila harus berhenti apabila anda mendapati diri anda berada dalam andaian negatif. Misalnya, ketika anda mendapati diri anda menuntut kesempurnaan, katakan kepada diri sendiri bahawa segala sesuatu tidak beroleh hasil sempurna. Ini akan membolehkan anda yakin pada diri sendiri dan pada masa yang sama percaya bahawa anda berusaha untuk menjadi lebih baik.

  3. Menilai diri. Berlatih untuk menilai diri secara bebas. Ini akan membolehkan anda mengelakkan rasa kebingungan berterusan akibat bergantung sepenuhnya kepada pendapat dan penilaian orang lain. Manusia lain lebih cenderung untuk memberi penilaian negatif berdasarkan pengalaman atau perkara negatif yang tersimpan dalam minda separa sedar mereka.

  4. Mengambil risiko. Apabila anda menghadapi dan menerima pengalaman sebagai alat untuk belajar berbanding kemungkinan untuk menang atau kalah, maka peluang baru boleh dibuka dan ini dapat mengembangkan kesedaran diri dan penerimaan (keredhaan).
Ingat, keyakinan diri dapat dibangunkan, bukan diwarisi; dan rasa takut boleh diatasi kerana anda mempunyai kepercayaan dan keyakinan dalam diri anda untuk melakukannya.

Isnin, 13 Jun 2011

Faktor Yang Menyumbang Kepada Rasa Takut

Disenaraikan lima faktor yang menyumbang kepada rasa takut di dalam diri seseorang:
  1. Apabila kita merasa diri kita terasing, rasa takut akan meningkat. Fakta menunjukkan bahawa seseorang tidak akan rasa takut bila bersama-sama dengan mereka yang rapat dengannya atau berada di persekitaran yang dia telah biasa. Rasa takut akan muncul bila terdapat suatu perasaan kerenggangan tertentu, yang menerbitkan bayangan atau rasa curiga.

  2. Kebergantungan kepada individu atau benda-benda yang dikaitkan dengan dengan keselamatan diri akan menyebabkan diri merasa takut kehilangannya, justeru seseorang akan berbuat apa saja untuk melindungi hubungan, harta atau imej dirinya.

    Contoh: Terlalu bergantung kepada suami atau wang simpanan untuk kehidupan seharian.
    [Ustaz selalu mengingatkan kita supaya bergantung sepenuhnya kepada Allah]

  3. Persekitaran dan orang yang asing kepada seseorang juga akan menyebabkan rasa takut. Keadaan asing menimbulkan ancaman kepada keselamatan diri dan seseorang biasanya akan bertindak balas dengan sangat berhati-hati dan ada kalanya, bertindak defensif.

    Contoh: Bila menghadiri persidangan di mana peserta dan pembentang kertas kerja adalah asing kepada dirinya, seseorang itu akan menahan dirinya dari bertanya soalan kerana takut mengancam "keselamatan" diri (takut dianggap tidak pandai dan merasa malu).

  4. Pengalaman negatif masa lalu seperti mengalami atau menyaksi kehilangan, kecederaan atau kematian memburukkan lagi rasa takut. Minda separa sedar menyimpan kenangan masa lalu dan pada keadaan tertentu, ia dihidupkan semula.

    Pernah dengar ungkapan "Luka lama berdarah kembali?" Seseorang yang tidak menutup fail pengalaman lalu seperti kecewa dalam percintaan atau pernikahan akan merasa takut untuk menjalin hubungan baru atau bernikah lagi. Dia mungkin telah melupakan pengalaman tersebut tetapi apabila dia bertemu dengan orang baru, pengalaman lalu tersebut terbit kembali di mindanya.

  5. Ada kalanya khayalan boleh mengadakan atau mencipta gambaran kesusahan, penderitaan atau kesakitan di luar kebenaran fizikal atau kenyataan. Namun perlu diingat bahawa khayalan bukanlah sesuatu yang negatif, tetapi apabila disalahgunakan atau dizalimi, ia boleh membawa rasa takut yang banyak dalam diri sendiri.

    Contoh: Seseorang selalu membayangkan bahawa dunia perniagaan penuh dengan tipu daya, tikam belakang, kerugian, hubungan tidak rapat, peras ugut, dan bermacam-macam lagi perkara negatif akan membuat beliau rasa takut untuk menceburi dunia perniagaan.
Di kiriman seterusnya saya akan berkongsi tip bagaimana untuk memerangi rasa takut.

Jumpa lagi.

Isnin, 6 Jun 2011

Musuh Semulajadi Keyakinan Diri

Keyakinan diri umumnya digambarkan sebagai kemampuan individu untuk memiliki kepercayaan di atas kemampuan diri. Seseorang yang memiliki rasa percaya diri biasanya akan mempunyai penghargaan diri yang tinggi.

Penghargaan diri boleh ditakrifkan sebagai "harga" yang seseorang individu letakkan pada dirinya sendiri atau pandangan positif terhadap diri sendiri. Ia adalah ukuran ke atas nilai diri sendiri sebagai seorang insan, yang selari dengan perilakunya. Selain itu, ia juga disebut sebagai rasa hormat seseorang ke atas diri sendiri berdasarkan kepercayaan apa dan siapa beliau sebagai seorang insan. Perkara ini sangat mempengaruhi perasaan seseorang terhadap dirinya, kehidupannya, hubungannya, dan akhirnya menentukan tindakannya atau bagaimana beliau mencapai sesuatu.

Pembinaan dan pengembangan keyakinan diri sebenarnya bermula dengan pemeriksaan atau muhasabah diri. Minda harus diperiksa secara menyeluruh agar kecenderungan yang  merugikan disekat, kelemahan dihapuskan, dan pola fikiran dan perilaku yang betul ditanam seteguhnya.

Menurut kajian rasa takut adalah musuh manusia yang menghalang keyakinan diri. Kajian ini dengan jelas menekankan bahawa "fikiran takut" adalah penyakit yang boleh dikesan dan dikenalpasti. Ianya sebahagian besar muncul dari pola mental yang korup, di mana minda dibenarkan secara konsisten memikirkan keraguan, ketidakefisienan dan kegagalan. Kuasa ini akan menjadi lebih besar bila dibenarkan berleluasa, mempengaruhi kehidupan anda dalam hampir setiap usaha anda.

Ketidaktahuan adalah penyebab asas dan utama rasa takut, iaitu bila seseorang tidak menyedari "sifat sejati" nya. Sebuah kajian menunjukkan bahawa bila seseorang sudah yakin atau mempunyai jiwa yang teguh tak terbatas, maka dia tidak akan pernah merasa takut. Namun, ada orang yang tidak dapat menerima perkara ini, justeru mereka merasa terpisah, terdedah dan terasing.

Rasa takut ditunjukkan dalam beberapa cara. Anda mungkin mengalami rasa malu, sifat malu-malu, merah muka, gementar dan keperluan kepada "keyakinan diri".

Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada rasa takut. Ia akan dibincangkan dalam tulisan akan datang.